Friday, 28 September 2012

Dialek Kita

Saya percaya setiap daripada kita mempunyai latar belakang yang berbeza. Misalnya tempat kelahiran dan tempat tinggal. Di Malaysia, negara kita terbahagi kepada wilayah Utara (Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Utara Perak), Selatan (Johor), Pantai Barat (Perak, Selangor) dan Pantai Timur(Kelantan, Terengganu dan Pahang). Setiap wilayah ini mempunyai laras bahasa dan dialek mereka yang tersendiri. Antara ciri yang membezakan laras bahasa setiap daerah termasuklah kepelatan, gaya lagu semasa menuturkannya, bunyi sebutan, dan perbezaan dari segi perkataan dan ungkapan-ungkapan tertentu. Mari kita lihat contoh bagi perkataan apa, bagi penutur di wilayah Utara, mereka akan menyebutnya apa, Berbeza dengan mereka yang mendiami wilayah Selatan. Mereka akan menyebutnya ape. Begitu juga dengan perkataan pergi, masyarakat di Utara akan menyebutnya pi manakala masyarakat di Pantai Timur akan menyebutnya gi. Perhatikan pula ayat ini:-
          1. Hang nak pi mana?
          2. Mu nok gi mana?
          3. Kamu hendak pergi ke mana?

Ayat satu dan dua merupakan bahasa dialek manakala ayat tiga merupakan bahasa baku. Namun ia masih membawa maksud yang sama dengan ayat ketiga.

Gambar hiasan

Gambar hiasan

Oh, bahasaku rojak!

Bahasa campur atau lebih dikenali sebagai bahasa rojak merupakan satu fenomena yang semakin menjadi kebiasaan dalam masyarakat kita hari nie, terutamanya melibatkan golongan remaja. Bukan hanya dari segi lisan, tetapi ianya turut menular ke komunikasi alam maya. Apa yang saya maksudnya ialah komunikasi di laman-laman sosial, misalnya facebook dan twitter. Mari kita lihat contoh komunikasi yang saya peroleh di 

laman sosial facebook. Saya tidak memfokuskan kepada teknik singkatan yang sering digunakan oleh golongan remaja. Tetapi kita lihat kepada percampuran bahasa yang terdapat pada gambar yang dilampirkan. Pada contoh tersebut kita dapat lihat percampuran bahasa di antara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Mari kita lihat pula pula contoh lisan yang ditutur menggunakan percampuran bahasa. Sehinggakan segelintir golongan yang telah mencipta lagu yang mencampurkan bahasa Melayu dengan bahasa asing. 


Anda boleh dengar dan nilai lagu yang dinyanyikan ini. Saya beranggapan golongan remaja hari ini semakin tidak peka akan bahasa Melayu. Bahkan ada yang beranggapan bahasa asing lebih penting. Sebagai seorang Melayu dan cintakan bahasa Melayu, saya berasa tidak salah untuk belajar dan bertutur bahasa asing. Namun perlulah bersesuaian dengan tempat dan keadaannya. Contohnya jika hendak menggunakan bahasa Melayu, gunakan bahasa Melayu dengan betul, dan jika hendak mengunakan bahasa asing, gunakan dengan betul. Bukan hanya dari segi pertuturan, malah dari segi penulisan. Semoga kita dapat memelihara bahasa Melayu, agar ia tidak dipandang remeh oleh orang lain. Jika bukan kita yang menggunakannya, siapa lagi??

Thursday, 27 September 2012

Bahasa,teknologi dan remaja

Baru-baru ini dunia teknologi semakin menunjukkan kemajuannya, apabila telefon pintar 'iphone5' dilancarkan. Sudah pasti golongan muda, khususnya golongan remaja berlumba-lumba untuk mendapatkan telefon pintar yang terbaru. Seperti yang kita tahu telefon adalah alat perhubungan masa kini yang sangat penting. Namun, bagaimanakah cara perhubungannya? Tidak perlu saya menghuraikan dengan lebih panjang kerana kita semua tahu telefon digunakan menerusi percakapan dan juga teks (mesej). Melalui penulisan teks ataupun menaip teks, kita seringkali menggunakan singkatan perkataan ketika berhubungan dengan orang lain. Saya percaya golongan remaja amnya merupakan pengguna yang tegar dalam teks (mesej). Mereka ini akan menggunakan singkatan bagi perkataan tertentu sehinggakan golongan yang lebih dewasa tidak memahami isi kandungan tentang apa yang hendak disampaikan. 
          Begitu juga menerusi laman sosial. Cara penggunaan bahasa mereka masih sama walaupun menggunakan penyampaian yang berbeza. Saya mengambil contoh pada hari ini, iaitu semasa melayari laman  sosial, saya telah terlihat satu komen yang menggunakan singkatan yang sukar difahami malah terdapat percampuran bahasa. 
Komen seperti ini sudah biasa saya lihat bahkan ada yang lebih teruk iaitu sehinggakan saya tidak memahami walau satu patah perkataan. Mungkin dalam lingkungan seusia mereka, akan ada yang dapat memahaminya, tetapi bagi mereka yang lebih dewasa, mereka akan mengambil masa yang agak lama untuk memahaminya.

Wednesday, 26 September 2012

Budi Bahasa Amalan Kaunter

Pada hari ini saya telah pergi ke Pusat ICT di bangunan E-Learning bagi menguruskan tempahan kelas. Di situ saya terlebih dahulu berjumpa seorang lelaki iaitu kakitangan Pusat ICT yang bertugas di kaunter pertanyaan yang berusia lingkungan 40-an. Saya terlebih dahulu memberi salam, lalu dijawab dan terus berkata "boleh saya bantu?". Walau bagaimanapun, wajahnya yang sedikit kelat membuatkan saya kurang selesa untuk bercakap panjang, lalu terus memberitahu tujuan saya ke situ. Sambil melihat skrin komputer di hadapannya, lelaki itu banyak menggelengkan kepalanya, menandakan tiada kekosongan kelas seperti mana yang saya inginkan. Tidak banyak perbualan kami, tetapi lelaki itu banyak memberikan reaksi menerusi raut wajahnya. Lantas saya memohon berundur diri.
          Berikut adalah satu situasi yang saya lalui apabila berurusan di kaunter pertanyaan. Bagi pandangan saya, apabila seseorang itu bertugas di kaunter pertanyaan, dia seharusnya memberikan perkhidmatan yang terbaik agar setiap individu yang berurusan dengannya berpuas hati. Saya pasti sekiranyan diberikan perkhidmatan yang terbaik, orang ramai akan lebih selesa untuk berurusan di sesebuah organisasi. Hal ini bukanlah hanya merujuk kepada jabatan-jabatan tertinggi, malahan di peringkat bawahan, misalnya gerai makanan dan kedai runcit. Bagaimanakah layanan yang sepatutnya diberikan kepada pelanggan mereka? Apakah perkara yang perlu diucapkan ketika melayan pelanggan?
          Saya fikir perlu ada garis panduan dalam memastikan budi bahasa amalan kaunter dapat dipraktiskan dalam diri setiap individu. Malah tidak rugi rasanya jika melayan pelanggan dengan baik kerana layanan yang baik akan meningkatkan mutu perkhidmatan. Sekian...


Gambar hiasan

Monday, 24 September 2012

Salam perkenalan "dunia blog"

Salam pertemuan "dunia blog". Suatu yang baharu apabila saya diminta menghasilkan bloh sedangkan sebelum ini tidak terlintas untuk memiliki blog sendiri. Saya telah diminta untuk menghasilkan blog ini di bawah kelolaan Dr. Siti Saniah binti Abu Bakar, iaitu pensyarah bagi kelas Sosiolinguistik Melayu di Universiti Pendidikan Sultan Idris. Hasil sedikit bimbingan daripada rakan-rakan, maka lahirlah ruangan ini yang akan membincangkan serba sedikit penggunaan bahasa Melayu dalam kehidupan masyarakat hari ini. Semoga ruangan ini menjadi wadah yang baik dalan setiap perkongsian. Wassalam...
Yang kurik kundi,
Yang merah saga,
Yang cantik budi,
Yang indah bahasa.