Assalammualaikum dan salam sejahtera...
Pada hari ini saya ingin berbicara tentang bahasa kanak-kanak. Seorang kanak-kanak menyergah secara tiba-tiba ‘Ah!’ bagi
menyatakan yang dia tahu imej di kulit buku yang baru dihadiahkan. Tindakan
tersebut adalah tindak balas yang mengaitkan bahasa dan otak. Sebaik sahaja
kanak-kanak tahu perkataan, mereka boleh gunakannya bagi mewakili objek dan
tindakan. Bahasa merupakan sistem komunikasi perkataan dan tatabahasa. Melalui
bahasa, kanak-kanak dapat berhubung dengan orang di sekitar mereka bagi
menyatakan perasaan, keperluan dan idea.
Pada usia bayi enam minggu sehingga tiga bulan, mereka mula
mendekut (cooing) apabila rasa seronok. Mereka juga suka bermain dengan
bunyi-bunyi perkataan yang didengari dari persekitaran.
Mengagah (babbling) pula berlaku di antara enam bulan hingga
sepuluh bulan. Ia bukannya bahasa sebenar dan tidak ada makna. Penerimaan ke
atas bunyi-bunyi bahasa berterusan dilakukan oleh bayi yang berumur 9 bulan
hingga 10 tahun namun belum memahami sepenuhnya perkataan-perkataan tersebut.
Keupayaan membezakan bunyi-bunyian sangat penting untuk
perkembangan bahasa. Ia bermula sebelum kelahiran dan sangat kritikal ketika
tahun pertama kehidupan. Bayi dapat membiasakan diri dengan perkataan apabila
mereka kerap mendengar dan mula menggunakannya.