Saturday, 27 October 2012

Premis Perniagaan





Assalammualaikum dan salam sejahtera...

Pada hari ini saya ingin berkongsi bersama pembaca sekalian berkenaan cara pengiklanan. Jika dilihat pada beberapa gambar yang saya sertakan, berbagai-bagai cara orang memperkenalkan premis perniagaan sehinggakan ia agak kelakar dan pelik. Tetapi inilah yang berlaku dalam masyarakat kita.
Kata Seindah Bahasa, Bahasa Jiwa Bangsa!!

Friday, 26 October 2012

Adab

Assalammualaikum dan salam sejahtera..

Pada hari ini saya ingin berbicara mengenai adab ketika makan. Dalam makan, ada perkara yang wajib dijaga, dan ada juga perkara sunat yang perlu dijaga. Perkara yang wajib ialah mengelak makan an yang haram seperti arak, babi, binatang yang tidak disembelih dan sebagainya. Adapun perkara yang sunat dijaga adalah ketika makan, makanlah dengan beradab. Walau bagaimanapun apabila makan tidak beradab ia tidaklah mendatangkan dosa. Antara adab ketika makan yang disunahkan oleh Rasulullah S.A.W ialah:
  1. Mulakan dengan Bismillah
  2. Makan dengan tangan kanan
  3. Tidak menggunakan bekas emas dan perak
  4. Tidak mencela makanan
  5. Tidak makan dengan banyak
  6. Makan secara beramai-ramai
  7. Duduk ketika makan

Thursday, 25 October 2012

Filem kita

Assalammualaikum dan salam sejahtera..

Pernahkah anda melihat filem "Hantu Kak Limah Balik Rumah"? Filem ini telah mempengaruhi orang ramai dengan kata-kata yang terdapat dalam jalan ceritanya. Antara perkataan yang banyak digunakan ialah "ceciter- ceciter". Pada pengamatan saya, filem yang bergenre seram di negara ini kurang menyeramkan berbanding filem-filem dari negara Thailand dan Jepun. Filem seram di negara kita lebih bercorak komedi seram sehinggakan kita pun terikut-ikut dengan kata-kata dalam filem tersebut. 


Wednesday, 24 October 2012

Lagu dulu lagu sekarang

Assalammualaikum dan salam sejahtera..

Pagi ini saya telah mendengar salah satu saluran radio yang mendendangkan pelbagai jenis lagu. Namun saya mendapati terdapat perbezaan antara lagu-lagu yang dihasilkan oleh pencipta lagu terdahulu seperti P. Ramlee, M. Nasir dan ramai lagi yang menulis. Manakala lagu-lagu sekarang banyak mengketengahkan penulis-penulis muda seperti Edry Abd Halim, Malique, Najwa Latif dan ramai lagi. Mari kita lihat perbezaan di antara lagu yang ditulis oleh M. Nasir dan juga lagu yang ditulis oleh Malique. Kita lihat apakah perbezaan mesej yang cuba disampaikan.

Andalusia-M.Nasir

Cahayamu bagai sabitah
Doaku kau sejahtera
Biar warna kubah-kubahmu kian pudar
Untukmu setanggi ini ku bakar

Cahayamu sediakala

Aku rindukan zaman kebangkitan
Pabila nurani bersulamkan fikiran
Seganding dan bersatu
Lafaz niatku bertemu

Cahayamu tiada tara

Pohon salamku pada fakir-fakirmu andalusia
Pohon izinkan aku menyelami irama asyikmu
Pohonku dipinjamkan gabus dan ghazalmu jadi azimat
Supaya dapat aku menongkah arus
Sahutlah andalusia

Apakah sudah kering lautan darah
Yang tertimbus di bumi alhambra
Ataupun masih bergelora menanti saat
Melimpah mengikut air mata

Antal hadi antal haqqu
Laisal hadi Ilaahu

AdaMU- Najwa Latiff

Merenung ke luar jendela
Melihat kebesaran-Nya
Mensyukuri segala nikmat
Yang dikurnia-Nya di dunia
Kau berikanku kekuatan
Untuk berpegang pada jalan
Walau penuh dengan cabaran
Ku tahu ku ada-Mu Tuhan
Kerna Kau yang satu
Yang setia bersamaku
Di kala ku jatuh ku bangkit kerna Mu
Ku tahu ku ada-Mu di sisi ku selalu
Bantulah hambaMu mencari keredhaanMu
Ku tahu ku ada-Mu
Ku ada-Mu selalu

Tuesday, 23 October 2012

Budi Bahasa Budaya Kita

Assalammualaikum dan salam sejahtera..

Pada hari ini saya ingin berkongsi kisah iaitu ketika saya membeli minuman di stesen minyak, penjaga kaunter bersikap tidak mesra pelanggan. Ketika itu salah satu mesin "scan barcod" telah tidak berfungsi. Lalu mulalah mulut si penjaga kaunter membebel dan marah-marah tanpa menghiraukan orang ramai yang turut berada dalam premis tersebut. Malah kemarahan tersebut telah menyebabkan pembeli turut dimarahinya. Jika sikap seperti inilah ia tidak dapat melahirkan masyarakat minda kelas pertama. 






Monday, 22 October 2012

Aur dengan tebing

Assalammualaikum dan salam sejahtera..

Peribahasa bagai aur dengan tebing agak sinonim dalam masyarakat kita. Peribahasa ini bermaksud tolong-menolong antara satu sama lain. Begitu jugalah seperti serumpun aur di tebing.  Aur menumpang pada tebing bagi mendapatkan air, manakala tebing memerlukan aur supaya tebing tidak terhakis.

Dalam kehidupan kita, pastinya kita memerlukan orang lain. Oleh sebab itu, manusia harus hidup bekerjasama dan saling bantu membantu. Apabila melakukan sesuatu kerja, dengan bantuan orang lain, pasti kerja dapat dilakukan dengan cepat dan berkesan. Semangat kerjasama dan tolong menolong telah lama diamalkan dalam masyarakat kita, khususnya masyarakat luar bandar. Misalnya apabila ada majlis perkahwinan, lazimnya orang-orang kampung akan bergotong-royong untuk menjayakan majlis tersebut.

Peribahasa ini juga sama juga dengan peribahasa berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. 

Saturday, 20 October 2012

Papan tanda



 Assalammualaikum dan salam sejahtera..

Berdasarkan gambar di atas, apakah yang anda dapat tafsirkan? Simbol-simbol di atas seringkali dapat kita lihat di sepanjang jalan raya ataupun lebuh raya. Dalam berbahasa, ia merupakan satu bentuk komunikasi, samada bertutur, bertulis ataupun menggunakan simbol. Penggunaan simbol pada papan tanda hanya meletakkan gambar-gambar atau hanya menggunakan ayat-ayat yang ringkas tetapi kita yang melihat masih mampu memahaminya. Contoh yang paling mudah ialah penggunaan lampu isyarat di jalan raya. Pernahkah kita melihat isyarat bertulis menyatakan warna hijau, bergerak, warna kuning anda bersedia untuk berhenti dan warna merah anda mesti berhenti. begitu juga dengan simbol-simbol yang lain.. Dengan ini jelaslah simbol juga tergolong dalam bahasa walaupun ia tidak disampaikan secara lisan atau tulisan asalkan ianya mampu memberi makna kepada masyarakat.

Thursday, 18 October 2012

Sinonim

Assalammualaikum dan salam sejahtera...

Pada hari ini saya akan berbicara mengenai konsep sinonim iaitu dua kata atau lebih yang mempunyai makna yang sama atau hampir sama dalam sesuatu bahasa. Saya mengambil contoh kata perempuan dalam bahasa Melayu boleh disamakan maksuknya dengan wanita. Contoh lain ialah ibu dan emak. Berdasarkan kedua-dua tersebut dapat disinonimkan iaitu kata ibu dapat disinonimkan dengan kata emak dan begitulah sebaliknya. Walau bagaimanapun, terdapat kekecualian yakni tidak semua kata-kata bersinonim ini sesuai digunakan dalam ayat. Hal ini demikian kerana walaupun kata sinonim membawa maksud yang sama, namun penggunaannya banyak bergantung kepada jenis dan konteks ayat-ayat yang dibina. Mari kita lihat contoh ayat di bawah:
Gambar hiasan
a) Emak Pejabat Polis Daerah Port Dickson terletak di Negeri Sembilan Darul Khusus. 

    Sekiranya digantikan kata 'emak' dengan 'ibu', ayat berikut pastinya dapat diterima dan lebih gramatis.

b) Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson terletak di Negeri Sembilan Darul Khusus. 

    Berdasarkan contoh yang diberi, kata emak tidak sesuai digunakan kerana akan berlaku kesalahan makna apabila dibaca, ditulis atau dituturkan. Sebenarnya ia bergantung kepada makna yang ingin disampaikan dalam sesuatu ayat tersebut.

Wednesday, 17 October 2012

Slanga

Assalammualaikum dan dalam sejahtera...

Apa khabar dan selamat bertemu kembali. Pada hari ini saya ingin berbicara mengenai bahasa slanga. Apakah yang dimaksudkan dengan bahasa slanga? Menurut Kamus Dewan, slanga bermaksud kata-kata, ungkapan, dan seumpamanya yang tidak tergolong dalam bahasa baku atau bahasa tinggi tetapi ia lazimnya digunakan dalam percakapan tidak rasmi. Slanga merupakan kosa kata yang tidak baku, tidak standart, seringkali berubah dan secara umum berbeza dengan kata kosa kata lainnya. Pada kebiasaannya, bahasa slanga sering digunakan oleh golongan remaja atau kelompok sosial yang tertentu bagi tujuan komunikasi sesama mereka dan hanya difahami oleh kelompok mereka sahaja. 

          Lazimnya bahasa slanga digunakan oleh golongan remaja yang memanipulasikan ungkapanatau perkataan dengan makna yang baharu kepada perkataan tersebut. Contohnya perkataan balak, cun, kacang, ayat, awek, pakwe, skodeng, poyo dan sebagainya. Penggunaan media teknologi juga telah menjadikan slanga semakin berkembang.  Penggunaan bahasa slanga ini jika tidak dipantau dibimbangi akan merencatkan usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu hari ini. 






Tuesday, 16 October 2012

Lemahnya penguasaan bahasa


Assalammualaikum dan salam sejahtera...

Pada hari ini saya ingin berkongsi kisah iaitu lemahnya penguasaan bahasa Melayu. Kisah ini bermula ketika saya bersama rakan-rakan saya menjamu selera di restoran KFC di Tanjong Malim, Perak. Suasana dalam restoran itu sedikit sesak kerana di luar cuaca hujan. Mungkin sebab itu jugalah restoran ini diserbu bagi mengisi perut yang lapar. Dalam kesesakkan itu saya dan rakan-rakan telah memilih di suatu sudut sebagai tempat untuk menjamu makanan. Di tepi kami, ada dua orang berbangsa India dan seorang berbangsa cina yang sedang menikmati makanan yang sama. Saya dapat mendengar dengan jelas mereka bertutur menggunakan bahasa Inggeris. Mereka hanya berbual kosong dengan bercakap hal-hal yang berkaitan makanan dan tempat yang akan mereka tuju selepas itu. Disebabkan mereka bertutur menggunakan bahasa Inggeris, adakalanya saya sendiri tidak pasti akan apa yang dituturkan oleh mereka. Saya terfikir sejenak, mengapakah mereka tidak menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan mereka. Kita sedia maklum bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan dan telah termaktub dalam perlembagaan Malaysia. Negara kita juga sudah 55 tahun merdeka, tetapi rakyatnya tidak bangga menggunakan bahasa Melayu, atau mereka ini tidak tahu berbahasa Melayu? Mari kita selami diri kita, saudara terdekat kita, adakah kita berjaya menguasai bahasa Melayu dengan baik? Atau kita juga sering menggunakan bahasa asing...Kita fikir-fikirkan dan muhasabah.

Monday, 15 October 2012

Tahun Melawat Perak 2012

Assalammualaikum dan salam sejahtera...

Pada hari ini saya ingin berkongsi mengenai tahun melawat negeri Perak. Di samping bertujuan mempromosikan tempat-tempat yang menarik di negeri Perak, ia juga mampu meningkatkan pendapatan dalam negeri. Namun apa yang dikesalkan ialah kerajaan negeri telah menggunakan istilah bahasa Inggeris dalam mempromosikan negeri. Pada pandangan saya, mungkin kerajaan negeri mahu memperkenalkan negeri Perak hingga ke luar negara. Gambar yang disertakan merupakan gambar tema bagi tahun melawat negeri Perak. Tiada satu pun istilah bahasa Melayu yang digunakan. Saya fikir paling tidak gunakanlah dwibahasa dalam mempromosikan negeri Perak. Jika dilihat kepada gambar tema tersebut ia seolah-olah hanya mempromosikan negeri Perak kepada pelancong luar dan bukannya mempromosikan negeri Perak kepada rakyat negara ini sendiri. Adakah pihak terbabit meragui akan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan? Harapan saya agar pada masa akan datang perkara seperti ini akan dipandang dan tidak dianggap remeh hingga meminggirkan bahasa kebangsaan kita.

Saturday, 13 October 2012

Bahasa kebangsaan diketepikan.

Assalammualaikum dan salam sejahtera.

Pada hari ini, ketika saya melayari internet, saya telah terlihat isu penggunaan bahasa asing pada papan iklan. Justeru itu saya akan membicarakan tentang penggunaan bahasa Inggeris pada papan iklan. Kini terlalu banyak papan iklan yang masih menggunakan bahasa Inggeris. Kebanyakkan iklan yang dipamerkan di tempat-tempat awam seperti pada papan iklan atau papan tanda, sama ada di luar ataupun di dalam bangunan masih tidak memuaskan. Di Malaysia, iklan yang tidak mengutamakan penggunaan bahasa kebangsaan, sebaliknya menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa-bahasa lain sepenuhnya amat mudah untuk ditemui di mana-mana sahaja. Sebenarnya isu ini merupakan isu lapuk selagi masih ada pihak yang tidak peka dan kurang bertanggungjawab serta tidak mempunyai kesedaran untuk memelihara bahasa kebangsaan kita. Gejala ini sepatutnya tidak berlaku kerana Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah meletakkan garis panduan dalam pemasangan papan iklan premis perniagaan di kawasan masing-masing. Oleh itu pihak yang meluluskan lesen pemasangan papan iklan, iaitu PBT seharusnya lebih serius dan komited dalam mematuhi garis panduan iklan. Malah setiap agensi pengiklanan dan syarikat boleh merujuk kepada Dewan Bahasa dan Pustaka terlebih dahulu bagi melihat aspek penggunaan bahasa sebelum sesuatu iklan diluluskan. Berikut saya sertakan contoh papan iklan yang mengutamakan bahasa Inggeris. 



Jawi dalam masyarakat 1

Assalammualaikum dan salam sejahtera...

Dalam catatan kali ini, saya akan membincangkan topik penggunaan tulisan jawi dalam masyarakat Melayu. Lazimnya tulisan jawi dikaitkan dengan masyarakat Melayu yang beragama Islam memandangkan tulisan jawi menggunakan huruf-huruf daripada bahasa Arab. Pada zaman dahulu masyarakat Melayu sangat mahir akan kemahiran menulis dan membaca jawi. Tetapi kini ramai golongan muda terutamanya lingkungan generasi Y, mereka agak sukar membaca tulisan jawi apatah lagi hendak menulisnya. Jika dahulu tulisan jawi digunakan secara meluas, namun kini agak sukar untuk kita melihat papan tanda yang mengunakan tulisan jawi sebagai panduan arah. Mengapakah keadaan ini berlaku? Mungkin ada yang beranggapan bahawa tulisan jawi tidak penting kerana ia agak sukar untuk membacanya tambahan pula masyarakat Malaysia merupakan masyarakat majmuk yang dihuni pelbagai etnik dan budaya. 

Walau bagaimanapun, tindakan sesetengah pihak khususnya kerajaan tempatan yang mengambil sikap terbuka dan berani meletakkan tulisan jawi pada papan iklan wajar dipuji. Malah ia nampak menarik meski pun tanpa bahasa inggeris. Secara tidak langsung ia memperkenalkan tulisan jawi kepada masyarakat lain yang mendiami negara kita. Contoh gambar 1 dibawah merupakan papan tanda iklan yang dilihat di negeri Kedah. Manakala contoh ke-2 merupakan papan iklan yang dapat dilihat negeri Kelantan.

Gambar 1
Gambar 2

Thursday, 11 October 2012

Media kita



Assalammualaikum dan salam sejahtera

Pada hari ini saya ingin berkongsi kisah ketika saya sedang mendengar radio. Pada mulanya agak seronok mendengar lagu-lagu yang dimainkan dan celoteh penyampai radio tersebut. Namun pada satu ketika, saya agak kesal kerana penyampai radio tersebut banyak menggunakan bahasa campuran iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Antara perkataan yang seringkali saya dengar ialah so, actually, same dan banyak lagi. Adakah penyampai radio itu sedar bahawa dia telah mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa lain?Adakah dia sudah terbiasa dengan perkataan bahasa Inggeris itu? Perkara seperti ini seharusnya dielakkan lebih-lebih lagi ia merupakan media siaran langsung yang didengari oleh lapisan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur, sedangkan media massalah yang sepatutnya memimpin masyarakat dalam berbahasa yang lebih baik dan bukannya dalam diam menjadi penyebab kepada kerosakan bahasa Melayu yang kita sayangi. 

Wednesday, 10 October 2012

"Cuba try"

Assalammualaikum dan salam sejahtera...

Pada coretan kali ini, saya akan membincangkan satu topik yang adakalanya tidak disedari dalam masyarakat kita. Pernah atau tidak kita mengucapkan perkataan "cuba try"? Lazimnya, ayat ini digunakan oleh golongan peniaga yang mempromosikan barangan mereka sehingga mereka tidak sedar akan pengucapan mereka tersebut. Malah ada yang berkata "cuba try test". 

          Mari kita lihat satu persatu, "try" merupakan perkataan dalam bahasa Inggeris yang bermaksud cuba. Justeru itu, mengapa perlu digabungkan bersama perkataan "cuba"? Bukankah ia telah mencemarkan bahasa Melayu. Antara sedar atau tidak, sebagai penutur bahasa Melayu, seharusnya kita sedar akan kesalahan seperti ini. 



Bahasa Pasar!

Assalammualaikum dan salam sejahtera...

Gambar hiasan
Coretan pada kali ini akan membicarakan topik bahasa pasar. Apakah yang anda faham dengan bahasa pasar? Bahasa pasar juga dikenali sebagai bahasa kacukan kerana salah satu ragam bahasa ini ialah sifat kacukannya. Baiklah, bahasa pasar ialah bahasa yang terdiri daripada perkataan-perkataan bahasa Melayu tetapi telah menggunakan ragam bahasa dan bentuk ayat-ayat daripada bahasa lain seperti bahasa Cina, bahasa Tamil dan sebagainya. Bahasa pasar juga mengalami pengaruh pelat penutur asing iaitu bahasa ibunda penutur. Penggunaan bahasa ini tidak begitu gramatis kerana bahasa ini mengabaikan nahu bahasa ibunda dan mengikut telor bahasa tersebut. 

          Sebagai contoh, ketika kita berkomunikasi di pasar, orang Melayu sering menggunakan bahasa pasar. Penggunaan bahasa ini telah menjadi sebati dalam kalangan masyarakat Melayu sehinggakan orang Melayu sendiri tidak sedar akan kesalahan penggunaan bahasa tersebut. Lebih-lagi apabila berkomunikasi dengan orang yang berbangsa lain seperti cina dan india. 

Antara ayat bahasa pasar yang sering digunakan:
  1. apa mahu
  2. boleh bikin
  3. kasi tahu
  4. banyak mahal
  5. sedikit masa
  6. itu macam
  7. saya punya adik

Saturday, 6 October 2012

Bahasa kanak-kanak


Assalammualaikum dan salam sejahtera...

Pada hari ini saya ingin berbicara tentang bahasa kanak-kanak. Seorang kanak-kanak  menyergah secara tiba-tiba ‘Ah!’ bagi menyatakan yang dia tahu imej di kulit buku yang baru dihadiahkan. Tindakan tersebut adalah tindak balas yang mengaitkan bahasa dan otak. Sebaik sahaja kanak-kanak tahu perkataan, mereka boleh gunakannya bagi mewakili objek dan tindakan. Bahasa merupakan sistem komunikasi perkataan dan tatabahasa. Melalui bahasa, kanak-kanak dapat berhubung dengan orang di sekitar mereka bagi menyatakan perasaan, keperluan dan idea.


Perkembangan bahasa adalah gambaran sejauh mana interaksi berlaku. Ia membantu mempercepatkan literasi iaitu keupayaan menulis dan membaca. Sebelum kanak-kanak menggunakan perkataan, mereka hanya tahu merengek dan menangis, ‘babbling’ (ma-ma-ma, ta-ta-ta) dan ‘cooing’ (menjerit dan membunyikan perkataan) seterusnya meniru gelagat dan apa sahaja yang mereka dengar. Mereka juga berupaya mengenalpasti bunyi dan suara orang dewasa dengan cepat. Tangisan bayi yang baru lahir adalah komunikasi. Nada, corak dan penguatan ke atas bunyi suara menyatakan maksud tertentu seperti lapar, tidak cukup tidur, marah atau merajuk.

Pada usia bayi enam minggu sehingga tiga bulan, mereka mula mendekut (cooing) apabila rasa seronok. Mereka juga suka bermain dengan bunyi-bunyi perkataan yang didengari dari persekitaran.

Mengagah (babbling) pula berlaku di antara enam bulan hingga sepuluh bulan. Ia bukannya bahasa sebenar dan tidak ada makna. Penerimaan ke atas bunyi-bunyi bahasa berterusan dilakukan oleh bayi yang berumur 9 bulan hingga 10 tahun namun belum memahami sepenuhnya perkataan-perkataan tersebut.

Keupayaan membezakan bunyi-bunyian sangat penting untuk perkembangan bahasa. Ia bermula sebelum kelahiran dan sangat kritikal ketika tahun pertama kehidupan. Bayi dapat membiasakan diri dengan perkataan apabila mereka kerap mendengar dan mula menggunakannya.

Friday, 5 October 2012

Pengantarabangsaan Bahasa Melayu

Assalammualaikum dan salam sejahtera...

Apakah yang anda faham dengan tajuk di atas? Tajuk di atas merupakan tajuk bagi Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2012 yang telah berlangsung pada 29 Februari hingga 15 Mac 2012. Pertandingan ini merupakan satu acara tahunan pidato bahasa Melayu yang terulung yang bermatlamat untuk memartabatkan citra dan kedaulatan bahasa Melayu di persada dunia. Pertandingan ini juga bermotifkan melahirkan rasa bangga dan yakin rakyat Malaysia terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Pada tahun 2012, ia merupakan pertandingan edisi ke-5 dengan berjaya menarik penyertaan 61 orang peserta dari 56 buah negara; antaranya Amerika Syarikat, Kanada, England, Jerman, Itali, Perancis, Australia, New Zealand, Jepun, Korea Selatan, China dan Malaysia. Jika dilihat pada angka penyertaan, ia merupakan sesuatu yang dibanggakan dengan penyertaan yang begitu ramai. 

         Adakah sukar bagi kita yang dilahirkan sudah berbahasa Melayu? Sedang masyarakat luar mempelajari bahasa Melayu, orang Melayu sendiri sibuk meminggirkan bahasa ibunda mereka sendiri. Tidakkah kita berasa bangga apabila masyarakat luar negara mampu bercakap bahasa Melayu dengan baik, malah turut menjadi johan dalam pertandingan pidato antarabangsa. Mari kita lihat johan pertandingan Pidato Bahasa Melayu 2012, Sebghatullah Qazizada dari Afghanistan.


Bahasaku

Assalammualaikum dan salam sejahtera...


Pada hari ini saya telah menghadiri satu perjumpaan di perpustakaan. Ketika berbincang, salah seorang daripada kami seringkali bercakap dengan bahasa Inggeris. Malah di pangkal percakapannya  diungkap dengan perkataan actually. Antara perkataan lain yang diucapkan ialah decision, next week, group, dan banyak lagi. Adakalanya saya sempat mencelah dengan bertanyakan maksud perkataan yang diucapkannya, rupa-rupanya perkataan tersebut ada dalam istilah bahasa Melayu. Misalnya perkataan actually (sebenarnya), decision (keputusan), next week (minggu hadapan) dan group (kumpulan). Pada pendapat saya, apakah sukar untuk menuturkan dalam bahasa Melayu? Sehinggakan mesti diselitkan dengan bahasa Inggeris. Bukanlah tidak boleh menuturkan dengan bahasa Inggeris, tetapi biarlah kita bangga apabila bertutur menggunakan bahasa Melayu. Jika hendak bercakap dengan bahasa Inggeris, berbahasalah dengan sepenuhnya, begitu juga apabila bertutur menggunakan bahasa Melayu, gunakanlah dengan sepenuhnya. Bagaimana kita hendak berbangga dengan bahasa Melayu sedangkan kita sendiri tidak berbangga dengan bahasa kita sendiri. Marilah kita berfikir sejenak, apakah yang akan berlaku kepada bahasa Melayu pada 10 tahun yang akan datang jika generasi muda seperti kita tidak berusaha untuk mengekalkan dan mempertahankan bahasa Melayu. Adakah bahasa Melayu akan menjadi bahasa rojak? Adakah bahasa Melayu hanya tinggal nama, banyak mengambil istilah-istilah bahasa Inggeris? Mari kita fikir-fikirkan...

Thursday, 4 October 2012

Wanita Vs Latah

Gambar hiasan

Jika kita pergi ke majlis-majlis tertentu seperti majlis perkahwinan, pasti ada seorang wanita yang berusia setengah abad yang suka melatah. Latah biasanya dikaitkan dengan wanita berusia, tetapi latah juga boleh berlaku tanpa mengira peringkat usia dan latar belakang sosial. Latah merupakan tindak balas yang spontan yang berlaku apabila seseorang itu terkejut. Biasanya orang yang melatah akan menyebut perkataan atau meniru tingkah laku orang lain di sekelilingnya secara berulang-ulang. Sekiranya ada orang yang mengusik orang yang melatah, latahnya akan menjadi-jadi sehinggakan dia seperti berada di alam bawah sedar, hilang kawalan diri. Malah orang yang melatah boleh membahayakan orang lain di sekitarnya sedang memegang objek tajam seperti pisau. 

          Biarpun latah dianggap menghiburkan bagi sesetengah pihak, namun melatah boleh memudaratkan individu terbabit kerana pergerakan fizikal yang berlebihan. Hal ini demikian kerana individu yang melatah akan berasa lelah dan letih. Lebih teruk latah boleh membawa makna yang lain iaitu perbuatan seseorang yang cepat terasa dan menjadi marah apabila dirinya 'dicucuk' dengan cerita yang membabitkan maruah diri. Kesimpulannya latah bukanlah satu penyakit, tetapi jangan pula kita menjadikan penyakit hati pula..:)

Mari kita lihat contoh latah...