Thursday, 18 October 2012

Sinonim

Assalammualaikum dan salam sejahtera...

Pada hari ini saya akan berbicara mengenai konsep sinonim iaitu dua kata atau lebih yang mempunyai makna yang sama atau hampir sama dalam sesuatu bahasa. Saya mengambil contoh kata perempuan dalam bahasa Melayu boleh disamakan maksuknya dengan wanita. Contoh lain ialah ibu dan emak. Berdasarkan kedua-dua tersebut dapat disinonimkan iaitu kata ibu dapat disinonimkan dengan kata emak dan begitulah sebaliknya. Walau bagaimanapun, terdapat kekecualian yakni tidak semua kata-kata bersinonim ini sesuai digunakan dalam ayat. Hal ini demikian kerana walaupun kata sinonim membawa maksud yang sama, namun penggunaannya banyak bergantung kepada jenis dan konteks ayat-ayat yang dibina. Mari kita lihat contoh ayat di bawah:
Gambar hiasan
a) Emak Pejabat Polis Daerah Port Dickson terletak di Negeri Sembilan Darul Khusus. 

    Sekiranya digantikan kata 'emak' dengan 'ibu', ayat berikut pastinya dapat diterima dan lebih gramatis.

b) Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson terletak di Negeri Sembilan Darul Khusus. 

    Berdasarkan contoh yang diberi, kata emak tidak sesuai digunakan kerana akan berlaku kesalahan makna apabila dibaca, ditulis atau dituturkan. Sebenarnya ia bergantung kepada makna yang ingin disampaikan dalam sesuatu ayat tersebut.

Wednesday, 17 October 2012

Slanga

Assalammualaikum dan dalam sejahtera...

Apa khabar dan selamat bertemu kembali. Pada hari ini saya ingin berbicara mengenai bahasa slanga. Apakah yang dimaksudkan dengan bahasa slanga? Menurut Kamus Dewan, slanga bermaksud kata-kata, ungkapan, dan seumpamanya yang tidak tergolong dalam bahasa baku atau bahasa tinggi tetapi ia lazimnya digunakan dalam percakapan tidak rasmi. Slanga merupakan kosa kata yang tidak baku, tidak standart, seringkali berubah dan secara umum berbeza dengan kata kosa kata lainnya. Pada kebiasaannya, bahasa slanga sering digunakan oleh golongan remaja atau kelompok sosial yang tertentu bagi tujuan komunikasi sesama mereka dan hanya difahami oleh kelompok mereka sahaja. 

          Lazimnya bahasa slanga digunakan oleh golongan remaja yang memanipulasikan ungkapanatau perkataan dengan makna yang baharu kepada perkataan tersebut. Contohnya perkataan balak, cun, kacang, ayat, awek, pakwe, skodeng, poyo dan sebagainya. Penggunaan media teknologi juga telah menjadikan slanga semakin berkembang.  Penggunaan bahasa slanga ini jika tidak dipantau dibimbangi akan merencatkan usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu hari ini. 






Tuesday, 16 October 2012

Lemahnya penguasaan bahasa


Assalammualaikum dan salam sejahtera...

Pada hari ini saya ingin berkongsi kisah iaitu lemahnya penguasaan bahasa Melayu. Kisah ini bermula ketika saya bersama rakan-rakan saya menjamu selera di restoran KFC di Tanjong Malim, Perak. Suasana dalam restoran itu sedikit sesak kerana di luar cuaca hujan. Mungkin sebab itu jugalah restoran ini diserbu bagi mengisi perut yang lapar. Dalam kesesakkan itu saya dan rakan-rakan telah memilih di suatu sudut sebagai tempat untuk menjamu makanan. Di tepi kami, ada dua orang berbangsa India dan seorang berbangsa cina yang sedang menikmati makanan yang sama. Saya dapat mendengar dengan jelas mereka bertutur menggunakan bahasa Inggeris. Mereka hanya berbual kosong dengan bercakap hal-hal yang berkaitan makanan dan tempat yang akan mereka tuju selepas itu. Disebabkan mereka bertutur menggunakan bahasa Inggeris, adakalanya saya sendiri tidak pasti akan apa yang dituturkan oleh mereka. Saya terfikir sejenak, mengapakah mereka tidak menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan mereka. Kita sedia maklum bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan dan telah termaktub dalam perlembagaan Malaysia. Negara kita juga sudah 55 tahun merdeka, tetapi rakyatnya tidak bangga menggunakan bahasa Melayu, atau mereka ini tidak tahu berbahasa Melayu? Mari kita selami diri kita, saudara terdekat kita, adakah kita berjaya menguasai bahasa Melayu dengan baik? Atau kita juga sering menggunakan bahasa asing...Kita fikir-fikirkan dan muhasabah.

Monday, 15 October 2012

Tahun Melawat Perak 2012

Assalammualaikum dan salam sejahtera...

Pada hari ini saya ingin berkongsi mengenai tahun melawat negeri Perak. Di samping bertujuan mempromosikan tempat-tempat yang menarik di negeri Perak, ia juga mampu meningkatkan pendapatan dalam negeri. Namun apa yang dikesalkan ialah kerajaan negeri telah menggunakan istilah bahasa Inggeris dalam mempromosikan negeri. Pada pandangan saya, mungkin kerajaan negeri mahu memperkenalkan negeri Perak hingga ke luar negara. Gambar yang disertakan merupakan gambar tema bagi tahun melawat negeri Perak. Tiada satu pun istilah bahasa Melayu yang digunakan. Saya fikir paling tidak gunakanlah dwibahasa dalam mempromosikan negeri Perak. Jika dilihat kepada gambar tema tersebut ia seolah-olah hanya mempromosikan negeri Perak kepada pelancong luar dan bukannya mempromosikan negeri Perak kepada rakyat negara ini sendiri. Adakah pihak terbabit meragui akan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan? Harapan saya agar pada masa akan datang perkara seperti ini akan dipandang dan tidak dianggap remeh hingga meminggirkan bahasa kebangsaan kita.

Saturday, 13 October 2012

Bahasa kebangsaan diketepikan.

Assalammualaikum dan salam sejahtera.

Pada hari ini, ketika saya melayari internet, saya telah terlihat isu penggunaan bahasa asing pada papan iklan. Justeru itu saya akan membicarakan tentang penggunaan bahasa Inggeris pada papan iklan. Kini terlalu banyak papan iklan yang masih menggunakan bahasa Inggeris. Kebanyakkan iklan yang dipamerkan di tempat-tempat awam seperti pada papan iklan atau papan tanda, sama ada di luar ataupun di dalam bangunan masih tidak memuaskan. Di Malaysia, iklan yang tidak mengutamakan penggunaan bahasa kebangsaan, sebaliknya menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa-bahasa lain sepenuhnya amat mudah untuk ditemui di mana-mana sahaja. Sebenarnya isu ini merupakan isu lapuk selagi masih ada pihak yang tidak peka dan kurang bertanggungjawab serta tidak mempunyai kesedaran untuk memelihara bahasa kebangsaan kita. Gejala ini sepatutnya tidak berlaku kerana Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah meletakkan garis panduan dalam pemasangan papan iklan premis perniagaan di kawasan masing-masing. Oleh itu pihak yang meluluskan lesen pemasangan papan iklan, iaitu PBT seharusnya lebih serius dan komited dalam mematuhi garis panduan iklan. Malah setiap agensi pengiklanan dan syarikat boleh merujuk kepada Dewan Bahasa dan Pustaka terlebih dahulu bagi melihat aspek penggunaan bahasa sebelum sesuatu iklan diluluskan. Berikut saya sertakan contoh papan iklan yang mengutamakan bahasa Inggeris. 



Jawi dalam masyarakat 1

Assalammualaikum dan salam sejahtera...

Dalam catatan kali ini, saya akan membincangkan topik penggunaan tulisan jawi dalam masyarakat Melayu. Lazimnya tulisan jawi dikaitkan dengan masyarakat Melayu yang beragama Islam memandangkan tulisan jawi menggunakan huruf-huruf daripada bahasa Arab. Pada zaman dahulu masyarakat Melayu sangat mahir akan kemahiran menulis dan membaca jawi. Tetapi kini ramai golongan muda terutamanya lingkungan generasi Y, mereka agak sukar membaca tulisan jawi apatah lagi hendak menulisnya. Jika dahulu tulisan jawi digunakan secara meluas, namun kini agak sukar untuk kita melihat papan tanda yang mengunakan tulisan jawi sebagai panduan arah. Mengapakah keadaan ini berlaku? Mungkin ada yang beranggapan bahawa tulisan jawi tidak penting kerana ia agak sukar untuk membacanya tambahan pula masyarakat Malaysia merupakan masyarakat majmuk yang dihuni pelbagai etnik dan budaya. 

Walau bagaimanapun, tindakan sesetengah pihak khususnya kerajaan tempatan yang mengambil sikap terbuka dan berani meletakkan tulisan jawi pada papan iklan wajar dipuji. Malah ia nampak menarik meski pun tanpa bahasa inggeris. Secara tidak langsung ia memperkenalkan tulisan jawi kepada masyarakat lain yang mendiami negara kita. Contoh gambar 1 dibawah merupakan papan tanda iklan yang dilihat di negeri Kedah. Manakala contoh ke-2 merupakan papan iklan yang dapat dilihat negeri Kelantan.

Gambar 1
Gambar 2

Thursday, 11 October 2012

Media kita



Assalammualaikum dan salam sejahtera

Pada hari ini saya ingin berkongsi kisah ketika saya sedang mendengar radio. Pada mulanya agak seronok mendengar lagu-lagu yang dimainkan dan celoteh penyampai radio tersebut. Namun pada satu ketika, saya agak kesal kerana penyampai radio tersebut banyak menggunakan bahasa campuran iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Antara perkataan yang seringkali saya dengar ialah so, actually, same dan banyak lagi. Adakah penyampai radio itu sedar bahawa dia telah mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa lain?Adakah dia sudah terbiasa dengan perkataan bahasa Inggeris itu? Perkara seperti ini seharusnya dielakkan lebih-lebih lagi ia merupakan media siaran langsung yang didengari oleh lapisan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur, sedangkan media massalah yang sepatutnya memimpin masyarakat dalam berbahasa yang lebih baik dan bukannya dalam diam menjadi penyebab kepada kerosakan bahasa Melayu yang kita sayangi.